News
Bengkel Semakan Program BIT, Mantapkan Kurikulum Sejajar Keperluan Industri
18 Ogos 2026 – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Bengkel Semakan Program Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian (BIT) bertempat di Bilik Tutorial 3, Aras 2, FSKTM. Bengkel yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang ini bertujuan untuk menilai serta memperkukuh struktur dan pelaksanaan program agar sentiasa relevan dengan perkembangan pesat teknologi semasa.
Bengkel ini dipimpin oleh Ketua Program, Ts. Dr. Suziyanti binti Marjudi, serta turut dihadiri oleh barisan staf akademik daripada Jabatan Kejuruteraan Perisian.
Bagi memastikan kualiti dan daya saing kurikulum berada pada tahap tertinggi, bengkel ini turut membabitkan sumbangan kepakaran daripada pelbagai pihak luar, antaranya:
• Pemeriksa Luar: Professor Dr. Azlan bin Mohd Zain (Universiti Teknologi Malaysia)
• Penasihat Industri: Ts. Nor Faiz Muhammad Noor (Bintara Solutions Sdn. Bhd.)
Sesi perbincangan interaktif sepanjang bengkel ini menyaksikan pelbagai pandangan berharga, input strategik, serta syor penambahbaikan dikemukakan. Langkah ini penting dalam memastikan graduan program BIT bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah bersedia mendepani cabaran dan kehendak pasaran kerja tempatan mahupun antarabangsa.
Pihak fakulti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli panel, pemeriksa luar, penasihat industri, serta warga kerja yang terlibat atas komitmen dan sumbangan berterusan demi memantapkan kualiti pendidikan di FSKTM.





Bengkel Semakan Program Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dengan Kepujian (BIK)
BATU PAHAT, 11 Ogos 2026 – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) , Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Bengkel Semakan Program Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dengan Kepujian (BIK) sebagai langkah berterusan dalam memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri semasa.
Bengkel yang berlangsung di FSKTM, UTHM ini diketuai oleh Ketua Program BIK, Dr. Mohd Hamdi Irwan bin Hamzah dan telah dirasmikan oleh Dekan FSKTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan bin Md. Fudzee.
Turut terlibat dalam bengkel tersebut ialah Pemeriksa Luar, Prof. Ts. Dr. Jasni bt. Mohamad Zain dari UITM dan Penasihat Industri, En. Herman bin Md. Tahir dari Appfuxion Consulting Sdn Bhd, yang berkongsi pandangan serta cadangan berdasarkan perspektif akademik dan industri bagi menyokong penambahbaikan program.
Bengkel ini turut dihadiri oleh para pensyarah Jabatan Kejuruteraan Perisian, FSKTM, UTHM yang terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan dan semakan kurikulum, khususnya dalam menilai kesesuaian kandungan program dengan perkembangan bidang kejuruteraan perisian serta keperluan profesional semasa.
Sesi semakan ini menjadi platform penting untuk mendapatkan input daripada pihak berkepentingan dalam memperkukuh struktur dan kandungan kurikulum BIK. Perkongsian daripada pemeriksa luar dan penasihat industri turut membantu memastikan program yang ditawarkan mampu memenuhi jangkaan industri serta menyediakan graduan dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang bersesuaian.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen FSKTM UTHM terhadap penambahbaikan berterusan kualiti akademik dan pengukuhan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan pihak industri dalam melahirkan graduan kejuruteraan perisian yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.


SULAM 2026: Github & AI – Memperkasakan Pelajar Kejuruteraan Dan Sains Dalam Pendokumentasian Projek
Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) telah berjaya dilaksanakan pada 15 Mei 2026 oleh pelajar Tahun 3 Program Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi kursus BIE33503 Kejuruteraan Perisian di Makmal Pembangunan Perisian, FSKTM. Program yang bertemakan “GitHub & AI: Helping Engineering & Science Students Document Their Projects” ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar bidang kejuruteraan dan sains mengenai penggunaan teknologi digital dalam pengurusan projek, kawalan versi dan pendokumentasian teknikal.
Bengkel ini memberi fokus kepada penggunaan GitHub sebagai platform untuk mengurus repositori projek, merekod perubahan kod sumber serta membangunkan dokumentasi projek yang tersusun melalui penyediaan fail README. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada amalan kerja secara kolaboratif yang lazim digunakan dalam industri pembangunan perisian dan pengurusan projek teknikal.
Bagi melengkapkan keperluan dokumentasi moden, peserta turut diperkenalkan kepada penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) melalui platform seperti Google Gemini dan Claude. Sesi ini menunjukkan bagaimana AI boleh dimanfaatkan untuk membantu menjana, menyusun serta menambah baik dokumentasi teknikal, di samping meningkatkan kualiti penulisan laporan dan penerangan projek secara lebih sistematik dan profesional.
Program ini direka khas untuk memberi pendedahan kepada pelajar bukan daripada bidang sains komputer mengenai amalan industri yang digunakan secara meluas dalam pembangunan perisian dan pengurusan projek teknologi. Melalui aktiviti berbentuk amali, peserta berpeluang mempelajari cara membina repositori GitHub, mengurus versi projek secara berkesan, menghasilkan dokumentasi teknikal yang berkualiti serta membina portfolio profesional yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan latihan industri dan pembangunan kerjaya pada masa hadapan.
Menurut pihak penganjur, pelaksanaan program SULAM ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta melalui perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan teknologi terkini, malah turut memperkukuhkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa UTHM sebagai fasilitator program. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UTHM dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan pemindahan ilmu kepada masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti khidmat komuniti.
Seiring dengan perkembangan pesat transformasi digital dan penggunaan teknologi AI dalam pelbagai sektor, penguasaan kemahiran penggunaan GitHub serta pendokumentasian teknikal menjadi antara kompetensi penting yang diperlukan oleh bakal graduan. Diharapkan program SULAM 2026: GitHub & AI – Helping Engineering & Science Students Document Their Projects dapat meningkatkan kesedaran dan kemahiran peserta terhadap amalan pembangunan projek yang profesional, seterusnya melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi keperluan industri pada masa hadapan.
Pensyarah Penyelaras:
* Dr. Abdullah Abdurahman
* Dr. Nur Ariffin Mohd Zin



Technorace: Programming, Cybersecurity, Hardware, AI And VR Station Challenge Meriahkan Program SULAM FSKTM UTHM Di SMK Convent Batu Pahat
Batu Pahat, Johor – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 14 Mei 2026 telah berjaya melaksanakan program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bagi kursus BIE33503 Topik-Topik Khas Kejuruteraan Perisian melalui penganjuran program Technorace: Programming, Cybersecurity, Hardware, AI and VR Station Challenge.
Program ini telah dikendalikan oleh 12 orang pelajar daripada Program Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian (BIP) dengan bimbingan dua orang pensyarah pengiring, iaitu Dr. Mohd Hamdi Irwan bin Hamzah dan Dr. Zanes bin Mohd Sahid.
Program SULAM ini telah melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan 3 SMK Convent Batu Pahat yang berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti berasaskan teknologi menerusi beberapa stesen interaktif. Antara pengisian yang disediakan termasuk cabaran pengaturcaraan (Programming), keselamatan siber (Cybersecurity), perkakasan komputer (Hardware), kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) serta pengalaman realiti maya (Virtual Reality, VR).
Melalui pendekatan pembelajaran secara interaktif dan berasaskan cabaran, para peserta bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat, malah didedahkan kepada kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kritis, kreativiti serta kerja berpasukan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan turut memberi gambaran awal mengenai bidang Sains Komputer dan peluang kerjaya dalam industri digital yang semakin berkembang.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen FSKTM UTHM dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan komuniti melalui inisiatif SULAM, di samping memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains Komputer, teknologi digital dan inovasi, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat yang mampu menyokong agenda transformasi digital negara.


FSKTM UTHM Perkukuh Kerjasama Akademik dengan Fakultas Teknik Universitas Negeri Padang
2 Julai 2026 | Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan delegasi daripada Fakultas Teknik, Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia bagi menjayakan program lawatan akademik dan memperkukuh kerjasama antarabangsa antara kedua-dua institusi.
Lawatan tersebut melibatkan lima orang wakil dari Fakultas Teknik, UNP iaitu Prof. Dr. Elfi Tasrif, Dr. Dedy Irfan, Dr. Yeka Hendriyani, Dr. Titi Sriwahyuni dan Dr. Thamrin.
Program yang berlangsung di FSKTM pada 24 Jun 2026 itu merangkumi beberapa agenda utama termasuk sesi pengenalan institusi dan delegasi kedua-dua pihak, sesi pemeteraian Surat Niat (LoI), perbincangan kolaborasi penyelidikan, penerbitan bersama serta perancangan program pertukaran akademik melibatkan pelajar dan staf.
Selain itu, lawatan akademik ini turut memberi penekanan kepada perancangan kerjasama dalam bidang penyelidikan, penulisan artikel saintifik secara bersama, khidmat masyarakat serta latihan berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) untuk pelajar.
Inisiatif ini dilihat selari dengan usaha memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta meningkatkan impak penyelidikan dan perkongsian kepakaran antara Malaysia dan Indonesia.
Menurut Dekan FSKTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan bin Md. Fudzee, kunjungan ini membuka ruang yang lebih luas kepada kedua-dua pihak untuk memperkukuh hubungan akademik melalui kerjasama penyelidikan, penerbitan, mobiliti akademik serta perkongsian kepakaran dalam bidang teknologi maklumat dan kejuruteraan.
Menerusi program ini, FSKTM dan Fakultas Teknik, UNP berpeluang meneroka ruang kerjasama baharu yang lebih strategik, khususnya dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan elektronik, pendidikan teknikal dan penyelidikan gunaan.
Perbincangan yang diadakan turut memberi tumpuan kepada pelan tindakan susulan bagi memastikan kerjasama yang dirancang dapat dilaksanakan secara berfasa dan memberi impak kepada kedua-dua institusi.
Program ini diselaraskan oleh Ts. Dr. Deden Witarsyah & Dr. Muhammad Nazim bersama barisan ahli jawatankuasa program yang dilantik. Program lawatan ini diakhiri dengan sesi rumusan hasil perbincangan, perancangan tindakan susulan, sesi fotografi berkumpulan serta penukaran cenderamata melibatkan pihak FSKTM yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan, Dekan FSKTM, dan delegasi UNP yang diketuai oleh Dr. Dedy Irfan, Kepala Departemen Teknik Elektronika.
Kerjasama ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam memperluas jaringan akademik, memperkukuh penerbitan bersama dan membuka peluang mobiliti akademik antara UTHM dengan Universitas Negeri Padang pada masa akan datang.






BOOTCAMP CISCO Certified Network Associate (CCNA) – Intro To Networking (ITNv7) Series 3 : 2026
We are glad to share the successful execution of the CCNA ITNv7 BOOTCAMP, conducted on 20 – 22 June 2026, for 236 students from the BIT, BIS, BIP, BIW and BIM.
This bootcamp, organized by the CISCO NETWORKING ACADEMY FSKTM UTHM, was delivered by 7 CISCO instructor:
1. PM Dr Sapiee Bin Hj Jamel
2. PM Dr Isredza Rahmi Binti A. Hamid
3. Dr Shamsul Kamal Bin Ahmad Khalid
4. Pn Hajah Rozanawati Binti Darman
5. Dr Nasaruddin Bin Ismail
6. Dr Abdullah
7. Dr Firkhan Ali Bin Hamid Ali
The session was conducted physical lecture. A special thanks to Assoc. Prof. Dr Kamaruddin Malik bin Mohamad, En Mohamad Afiq bin Mazni, Pn Zuraidah binti Bachok and Pn Siti Marlinee binti Zainal Azizan for coordinating CCNA ITNv7 Bootcamp.
Congratulations to all participants for your dedication and commitment to acquiring industry-relevant skills!















FSKTM,UTHM X FKMP,UTHM Bekerjasama Menjayakan Program Eksplorasi STEM & Komuniti Digital Di Senggarang
16 JUN 2026 | Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) berkerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FKMP) , Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah berkongsi kepakaran dan pengalaman menjayakan program FKMP Nadi Komuniti 2026: Eksplorasi STEM & Komuniti Digital Senggarang. Program berimpak tinggi ini telah berlangsung dengan jayanya bertempat di SMK Senggarang.
Program ini dirasmikan oleh YB Tuan Haji Onn bin Abu Bakar, Ahli Parlimen Batu Pahat turut dihadiri oleh Prof. Ts. Dr. Amir bin Khalid, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Puan Hajah Noorzihana binti Hamzah, Penolong Kanan Pentadbiran wakil Pengetua SMK Senggarang serta Encik Fahkrulrazi bin Hashim, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Johor wakil Pengarah MCMC Negeri Johor.
Program ini dengan tag line “Mencetus Inovasi, Membina Komuniti Digital” dibantu oleh pensyarah FSKTM iaitu Encik Muhammad Shukri Che Lah, Dr Nor Amalina Mohd Sabri dan Dr Shahdatunnaim Azmi serta beberapa orang wakil pensyarah FKMP, khusus untuk memberi pendedahan kepada Aktiviti Hands On STEM- Pengenalan kepada Arduino.
Usaha murni dalam menarik minat pelajar terhadap bidang STEM dan memperkukuh kefahaman mengenai komuniti digital ini telah dijayakan hasil kolaborasi strategik antara UTHM, SMK Senggarang, dan MCMC, dengan sokongan padu daripada pihak Parlimen Batu Pahat. Penglibatan aktif semua pihak ini amat dihargai dalam memastikan matlamat program tercapai sepenuhnya.
Inisiatif ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang celik teknologi, berdaya saing, dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara dalam era digital.
Antara aktiviti menarik sepanjang program:
– Pameran STEM Interaktif UTHM
– Robotik & Inovasi Pelajar
– Kempen Internet Selamat (MCMC)
– Pameran Komuniti Digital
– Aktiviti Hands-On STEM
– Pameran Akademik UTHM
– Derma Darah
Diharap program seperti ini dapat lebih kerap dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada anak-anak muda di sekolah.




Program SULAM 2026 Dedahkan Murid Sekolah Rendah Kepada Teknologi Web Dan Penghasilan Video Digital
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah menganjurkan program “SULAM 2026: Social Web Explorer” di Sekolah Kebangsaan Sri Rengit pada 20 dan 21 Mei 2026 bagi memperkasa pembelajaran digital dalam kalangan murid sekolah rendah. Program ini melibatkan kira-kira 120 murid Tahun 4 hingga Tahun 6 dan memberi fokus kepada penghasilan kandungan video pendek pendidikan berasaskan aplikasi web dan platform digital. Video yang dihasilkan berkaitan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains menggunakan telefon pintar Android sebagai medium rakaman dan penyuntingan.
Program tersebut melibatkan beberapa pensyarah dan pelajar daripada FSKTM bertindak sebagai pengiring dan fasilitator. Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada pendekatan Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM), yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti bagi memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Melalui program ini, murid didedahkan dengan penggunaan teknologi web dan Internet dalam pembelajaran digital masa kini. Aplikasi berasaskan web dan platform digital membolehkan murid menghasilkan, menyunting dan berkongsi kandungan multimedia secara kreatif dan interaktif. Selain meningkatkan kemahiran teknologi maklumat, program ini turut membantu murid memahami penggunaan Internet secara positif, selamat dan beretika.
Menurut Guru Besar SK Sri Rengit, Encik Suhaimi Bahrudin, penggunaan teknologi web dalam pendidikan mempunyai potensi besar untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran (PdP). Beliau menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan video digital mampu menarik minat murid untuk lebih aktif, kreatif dan yakin diri semasa proses pembelajaran berlangsung.
Sepanjang program, murid diberi latihan berkaitan teknik asas penghasilan video digital seperti penggunaan kamera telefon pintar, pencahayaan, rakaman suara dan penyuntingan video menggunakan aplikasi mudah alih dan aplikasi berasaskan web. Murid turut dibimbing menyediakan skrip, melakukan rakaman video dan menyunting hasil kerja dengan menambah teks, muzik latar dan sari kata sebelum disimpan dalam storan awan. Program ini turut berjaya meningkatkan kemahiran komunikasi, kreativiti digital dan semangat kerjasama dalam kalangan murid.








Program SULAM 2026: AI For Daily Life – Empowering School Students With Generative AI
BATU PAHAT, 18 Mei 2026 – Sekumpulan pelajar daripada program Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya melaksanakan Program SULAM 2026 bertajuk “AI For Daily Life: Empowering School Students with Generative AI” di Sekolah Kebangsaan Pintas Puding, Batu Pahat.
Program yang dijalankan di bawah kursus BIE33503 Topik-Topik Khas Kejuruteraan Perisian ini bertujuan memperkenalkan konsep Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) kepada murid sekolah rendah secara santai, interaktif dan mudah difahami. Melalui pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), para pelajar berpeluang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti sambil menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program antaranya sesi icebreaking “Is It Human or AI?”,pengenalan kepada AI dalam kehidupan harian, aktiviti penggunaan ChatGPT untuk bertanya soalan secara berkesan, serta aktiviti penjanaan imej menggunakan teknologi Generative AI. Murid-murid turut didedahkan kepada konsep asas penulisan arahan (prompting) dan kepentingan menggunakan teknologi AI secara beretika dan bertanggungjawab.
Program ini telah dikendalikan oleh sembilan orang fasilitator pelajar, iaitu Ram Prasaath A/L Thilagar, Keerthisharrma A/L Ravi, Vasanthavanan A/L Kumar, Sarveshwar A/L Paramasivam Kobinath, Kavithivan A/L Ganeson, Mukesh A/L Periasamy, Ousman Mahamat Ousman Youssouf, Abdullah Ibrahim Abdullah Al-Jawda dan Abdullah Tameem Abdullah Farea. Program ini turut mendapat bimbingan dan pemantauan daripada pensyarah pengiring, Dr. Nur Liyana Sulaiman dan Dr. Siti Hajar Arbain.
Sepanjang pelaksanaan program, para murid menunjukkan minat dan penglibatan yang sangat memberangsangkan. Mereka bukan sahaja berpeluang mengenali teknologi AI dengan lebih dekat malah dapat meneroka pelbagai kegunaan AI dalam pembelajaran, kreativiti dan penyelesaian masalah harian. Aktiviti penjanaan imej menggunakan AI khususnya telah menarik perhatian peserta dan berjaya mencetuskan kreativiti serta imaginasi mereka. Di akhir program murid-murid telah diberi tugasan untuk menjaga imej Ai dengan tema Hari Guru dan kumpulan yang paling kreatif memenangi hadiah.
Melalui program ini, para pelajar UTHM turut dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat. Inisiatif seperti ini selaras dengan aspirasi UTHM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai nilai kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial yang tinggi.
FSKTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Sekolah Kebangsaan Pintas Puding atas kerjasama yang diberikan serta berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti dalam mendepani era digital dan kecerdasan buatan.







Program SULAM 2026 Revolusi Pembelajaran: Canva & Kecerdasan Buatan (AI) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Aminah
Pada 13 Mei 2026, kumpulan pelajar FSKTM bagi SULAM TTK Kejuruteraan Perisian (BIE 33503, Kumpulan 3) telah berjaya melaksanakan program komuniti pendidikan bertajuk “Revolusi Pembelajaran: Canva & Kecerdasan Buatan (AI)” di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Aminah. Program ini turut diiringi oleh Prof. Madya Dr. Nurezi dan Dr. Rabatul Aduni sebagai pensyarah pengiring.
Program ini bertujuan untuk memperkenalkan para pelajar kepada penggunaan teknologi digital moden, khususnya Canva sebagai platform reka bentuk kreatif yang membolehkan pelajar menghasilkan poster, slaid pembentangan, infografik, resume, video pendek, dan pelbagai bahan pembelajaran digital dengan mudah dan menarik. Pendedahan ini membantu pelajar meningkatkan kreativiti, kemahiran komunikasi visual, serta keupayaan menghasilkan tugasan sekolah yang lebih profesional dan interaktif.
Selain itu, para pelajar turut diperkenalkan kepada Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) sebagai alat sokongan pembelajaran masa kini yang dapat membantu dalam penjanaan idea, penyediaan kandungan, pembelajaran kendiri, dan meningkatkan kecekapan dalam menyelesaikan tugasan akademik secara lebih bijak dan efektif.
Melalui sesi perkongsian interaktif dan aktiviti praktikal, para peserta berpeluang mencuba sendiri penggunaan teknologi ini, sekaligus memberi pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan keperluan dunia digital masa kini.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan literasi digital pelajar sekolah, malah memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu, kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan semangat kesukarelawanan melalui program Service Learning Malaysia University for Society (SULAM).
Tahniah kepada semua pelajar FSKTM, pensyarah pengiring, dan pihak sekolah yang telah memberikan komitmen serta kerjasama dalam menjayakan program ini. Semoga program seperti ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan generasi celik teknologi, kreatif, dan bersedia menghadapi cabaran era digital.



