Skip to main content
insight_bali

FSKTM UTHM Anjur Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa: “Wackopicko – Web Application Penetration Testing” di Bali, Indonesia

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Institut Bisnis dan Teknologi Indonesia (INSTIKI), Bali, telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat (CSR) bertajuk “WackoPicko: Web Application Penetration Testing” pada 6 Ogos 2025 bertempat di Hotel Santika Seminyak, Bali, Indonesia. Program ini dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh hubungan kerjasama akademik antarabangsa dan memupuk perkongsian ilmu secara langsung. Ia turut menjadi platform kepada para peserta untuk mempelajari teknik keselamatan siber melalui pendekatan praktikal yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Program ini memberi fokus kepada pemindahan ilmu secara amali dalam bidang keselamatan siber, khususnya teknik web application penetration testing menggunakan aplikasi simulasi “WackoPicko”. Aplikasi ini digunakan secara meluas dalam latihan keselamatan aplikasi web kerana keupayaannya mensimulasikan kelemahan dan risiko keselamatan yang sering dihadapi oleh sistem sebenar. Melalui pendekatan ini, peserta dapat meningkatkan kemahiran teknikal sambil memahami langkah pencegahan yang berkesan dalam melindungi aplikasi web.

Sepanjang program berlangsung, Ts. Dr. Zubaile Bin Abdullah dari FSKTM telah menyampaikan taklimat mengenai asas keselamatan maklumat serta pengenalan kepada aplikasi “WackoPicko”. Beliau kemudiannya mengendalikan demonstrasi teknik penetration testing secara langsung yang memaparkan kaedah mengesan kelemahan keselamatan aplikasi. Aktiviti interaktif seperti mini hands-on, kuiz dan sesi soal jawab turut diadakan bagi menggalakkan penglibatan aktif dan memastikan pemahaman peserta dapat diperkukuh.

Program ini telah dihadiri oleh pelajar dan staf INSTIKI, diwakili oleh empat orang staf FSKTM dan disokong oleh 14 orang lagi sebagai Ahli Jawatankuasa Program. Program CSR ini diadakan bersempena penganjuran pertama International Conference on Information Systems and Intelligent Technologies 2025 (INSIGHT 2025) yang turut berlangsung di Bali. Penglibatan secara bersama ini membolehkan pertukaran pandangan dan pengalaman antara kedua-dua institusi dilaksanakan secara lebih berkesan. Penganjuran ini bukan sahaja mempertingkat kemahiran teknikal dan komunikasi peserta, malah mengukuhkan kerjasama akademik antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia.

Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini!

Leave a Reply