Skip to main content

PROGRAM LEARN AND EARN ENTREPRENEURSHIP DAY (LEED25) FSKTM

12-13 NOVEMBER 2025 | Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dengan kerjasama Pusat Teknousahawanan Universiti telah menganjurkan Learn and Earn Entrepreneurship Day (LEED25) bertempat di Parkir FSKTM. Program keusahawanan ini merupakan aktiviti yang wajib disertai oleh pelajar yang mendaftar kursus Keusahawanan (BIT33902), Keusahawanan Siber (BIC31802) dan Keusahawanan, Kreativiti dan Inovasi (BIT31502). Dimana seramai 380 orang pelajar telah menyertai program ini. Semua Pensyarah kursus turut sama terlibat sebagai mentor kepada program ini dengan sama-sama berkongsi ilmu pengetahuan kepada pelajar dalam merealisasikan karnival keusahawanan.

Program LEED25 ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Dr Riyaz Ahmad bin Mohamed Ali, Ketua Jabatan Teknousahawan daripada Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), dengan diiringi oleh Dekan FSKTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan bin Md. Fudzee, Dr Muhaini binti Othman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) dan Ts Dr Zubaile bin Abdullah serta semua pensyarah FSKTM. Dekan FSKTM dalam ucapannya berkata, usaha semua pihak dalam perlaksanaan LEED25 ini diharapkan dapat melahirkan mahasiswa mahasiswi yang berminat untuk menceburkan diri dalam aktiviti perniagaan berlandaskan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari dalam subjek Keusahawanan seperti pemasaran digital.

LEED25 memberi pengalaman dan pendedahan kepada pelajar sebagai usawahan. Pendekatan sebegini memberi pengalaman pembelajaran berasaskan amalan (experiential learning) yang amat bernilai. Ia bukan sahaja meningkatkan kemahiran komunikasi, pengurusan masa dan kewangan, malah membentuk daya tahan, kreativiti serta keyakinan diri — ciri penting yang diperlukan oleh graduan pada masa kini. Dalam dunia yang semakin kompetitif dan pantas berubah, pelajar perlu mempunyai mindset usahawan, iaitu berani mencuba, tidak takut gagal, sentiasa mencari peluang dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta kehendak pasaran.

Selain nilai-nilai keusahawanan, ia juga dapat memberi nilai tambah kepada aspek Pembangunan sahsiah mahasiswa dan mahasiswi seperti dapat melatih dan memupuk pelajar dengan nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan saling hormat menghormati dalam merancang dan melaksanakan aktiviti perniagaan. Nilai-nilai ini amat bermanfaat kepada pelajar sebagai nilai tambah apabila mereka keluar ke dunia pekerjaan sebenar.

Program selama dua hari ini telah menerima sambutan yang sangat menggalakan dalam kalangan pengunjung yang terdiri daripada pelajar, staf dan juga pengunjung luar. Di antara produk-produk jualan adalah lok cing, laksa sarawak, banana puding, ayam gepuk, cheesy loaded fries, cendol boba, spageti dan sebagainya. Pelajar telah memasarkan sendiri produk-produk ini dengan mengaplikasikan pemasaran secara digital yang dipelajari sepanjang kursus keusahawanan.

Bagi memeriahkan program ini, LEED25 turut menyediakan hadiah kepada beberapa kategori seperti Gerai Terbaik, Promosi Pelanggan Terhebat, Business Pitching Terbaik dan lain-lain kategori. Business Pitching Terbaik yang telah di nilai oleh juri luar merangkap alumni FSKTM iaitu Ts Dr Helmi Adly Mohd Noor, Puan Amirah binti Othman dan En Mohd Adha Shah Mohd Basir manakala kategori melibatkan gerai telah dinilai oleh 34 juri terdiri daripada FSKTM dan fakulti lain.

Secara keseluruhannya, penganjuran program seumpama ini telah berjaya mendedahkan pelajar dengan dunia perniagaan serta memberi nilai tambah kepada pelajar dari segi perancangan, membuat keputusan dan kerja berpasukan.

Leave a Reply