Program Tautan Ilmu Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UTHM Dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang
Program Tautan Ilmu FSKTM UTHM dan PPD Kluang telah berlangsung di Dewan Bestari Sekolah Tinggi Kluang pada 24 Julai 2025. Program ini melibatkan murid Tingkatan 4 sekolah-sekolah Daerah Kluang yang mengambil subjek Sains Komputer untuk peperiksaan SPM 2026.
Program Tautan Ilmu FSKTM bersama PPD Kluang merupakan fasa ke-4 program Tautan Ilmu. Di mana, program tersebut pada fasa ini telah melibatkan 4 buah sekolah di bawah kendalian Pejabat Pendidikan Daerah Kluang iaitu Sekolah Tinggi Kluang (STK), SMK Simpang Renggam (SMKSR), SMK Dato’ Haji Hassan Yunos (SMKDHHY), dan SMK Jalan Mengkibol (SMKJM).
Sepanjang program, pelajar memberikan kerjasama yang baik dan menunjukkan minat yang tinggi terhadap bidang Sains Komputer. Maklum balas yang diterima daripada guru pengiring dan pelajar amat positif, di mana ramai yang menyatakan bahawa mereka mendapat pengetahuan baharu yang berguna dan mampu meningkatkan motivasi mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains Komputer.
Di samping itu, mahasiswa FSKTM yang terlibat sebagai urusetia dan fasilitator program telah menunjukkan tahap profesionalisme, kepimpinan dan kemahiran komunikasi yang tinggi, sekaligus menyumbang kepada pencapaian matlamat program dalam melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing. Bagi murid Tingkatan 4 pula, mereka mendapat ilmu berkaitan pengaturcaraan SQL, HTML untuk menghasilkan sistem online pangkalan data.
Dua orang pensyarah dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) UTHM terlibat dalam mengendalikan program ini iaitu Ts. Dr. Mohd Amin bin Mohd Yunus dan Prof. Madya Dr. Nureize Binti Arbaiy. Program bermula pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada jam 1.00 tengahari. Penutupan rasmi program ini telah disempurnakan oleh Pn Hjh Mariam binti Mohd Noor iaitu Pengetua Sekolah Tinggi Kluang. Turut terlibat sama dalam program ini ialah Tuan Haji Abdul Hamid bin Abdul Rahim selaku SISC TVET PPD Kluang.
Semoga program seumpama ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa dan guru serta PPD Kluang demi meningkatkan pencapaian murid dalam bidang yang mereka ceburi pada masa akan datang.





